Monday 10 October 2011

Apabila anda boleh bangun subuh.....

Dalam konteks kehidupan sekarang, jika ditanya , “siapakah orang yang paling kuat?” Apakah jawapan yang mungkin anada berikan?

Mungkin anda akan mengatakan seorang ahli bina badan adalah orang yang terkuat sekali. Mungkin anda juga akan mengatakan seoranh ahli angkat berat sebagai orang terkuat sekali. Begitu juga, mungkin anda mengatakan seorang yang telah diiktiraf sebagai manusia terkuat di dunia orang yang terkuat dalam kalangan orang-orang yang terkuat. Mungkin anda juga akan mengatakan seorang ahli gusti sebagai terkuat, seorang ahli tinju sebagai terkuat, seorang ahli sumo terkuat dan sebagainya lagi.

Sebenarnya, orang yang terkuat adalah orang yang mampu bangun pada waktu subuh untuk menunaikan sembahyang subuh secara berjemaah. Mungkin jawapan ini ini tidak termasuk akal bagi sesetengah orang. Sebenarnya, inilah jawapan yang paling tepat dalam konteks kehidupan seseorang Mukmin yang sejati.

Lihatlah, hakikat kehidupan anda. Anda dapat saksikan waktu subuh adalah waktu berat untuk dihadapi. Sesetengah orang kuat untuk bangkit pada waktu subuh tetapi bukanlah untuk menunaikan sembahyang Subuh tetapi semata-mata kerana tuntutan pekerjaan dan kehidupannya. Dia sanggup membuangkan selimutnya untuk mencari rezeki, untuk menyediakan persiapan anak-anaknya ke sekolah, untuk memastikan dia tidak ketinggalan bas, LRT, kapal terbang dan sebagainya. Tetapi dia tidak sanggup untuk pasrahkan diri kepada Allah, pada awal pagi, pada saat dia amat memerlukan Tuhan-nya untuk menghadapi hari-hari yang entah bagaimana itu.

Hakikat Subuh sebagai cabaran terhebat bagi manusia mutakhir ini bukanlah satu andaian belaka. Jika anda pergi ke surau dan masjid pada waktu subuh, anda akan dapati hanya beberapa kerat sahaja orang yang berada di situ berdiri sebaris untuk menunaikan sembahyang subuh berjemaah. Mengapakah hanya sebanyak itu orang yang hadir? Ke mana perginya orang-orang yang lain? Ke mana perginya ahli jemaah yang setiap Jumaat tidak memuat-muatkan masjid itu? Dan ke manakah perginya orang-orang yang melimpah-limpah hingga menyempitkan masjid-masjid pada waktu sembahyang sunat Hari Raya? Ke manakah semua pergi?

Sekuat mana sekalipun anda, kalau tangan tidak bertenaga untuk mengangkat dan melemparkan selimut, anda bukanlah kuat tetapi seorang manusia yang amat lemah dalam mengendalikan diri anda sendiri. Mengapa anda begitu kuat dan ghairah bangkit untuk memenuhi tuntuntan hidup tetapi tidak kuat untuk sekadar mengangkat takbir, melakukan gerak tubuh sebanyak dua rakaat itu sahaja, padahal sepanjang hari entah berapa ratus kalu anda menggerakkan tubuh anda, malah hingga berpeluh-peluh dan begitu letih sekali tetapi untuk dua rakaat yang dinamakan sembahyang Subuh berjemaah itu tidak upaya anda laksanakan. Apakah anda tidak berasa pelik dengan keadaan ini? Atau apakah ia fenomena biasa bagi manusia zaman mutakhir ini?

Tuntutan pertama kita sebagai seorang muslim bermula pada awal pagi. Allah memerintahkan kita bangkit pada waktu demikian dan tunaikanlah suruhan-NYA kerana pada waktu beginilah rezeki dan rahmat menjadi murah.

Bagaimanakah kita mahukan keberkatan dalam hidup sedangkan perintah daru TUAN PUNYA keberkatan tidak kita hiraukan? Apakah kita berasa kuat untuk hidup bersendiri? Apakah kita berasa sudah cukup terjamin untuk menjalani kehidupan kita dengan meraih rezeki-rezeki yang belum pasti, yang sentiasa berada di tangan ALLAH itu?

Sebenarnya kita semua tidak kuat untuk menghadapi kesemuanya ini, kecuali dengan adanya pimpinan dan petunjuk dari Allah S.W.T. Iman akan mampu menggerakkan kita dari tidur. Imanlah yang akan memandu kita supaya membuangkan selimut, bangkit dengan berdoa, kemudian mengambil wuduk biarpun suasana amat sejuk. Iman jugalah yang akan memandu kita supaya pergi berjemaah.

Lihatlah makhluk lain yang begitu akur kehidupan mereka. Dengarlah kokokan ayam pada awal subuh. Sejah dahulu, sejak berzaman lagi, haiwan ini tidak pernah ponteng melakukan tugas mereka mengejutkan kita dari tidur, dengan kokokannya yang panjang, sayu dan syahdu itu tetapi kita masih juga angkuh dengan mengatakan. ”hai ayam, memekak saja kamu ni!” Dan pada saat yang sama kita terus mengaku kitalah yang terpintar, kitalah makhluk yang terhebatdan terkuat, kitalah yang mulia, kitalah segala-galanya, sedang hakikat sebenarnya, ayam lebih dahulu bangkit dan menunaikan tanggungjawabnya daripada kita. Kita yang mengaku memiliki minda cemerlang rupanya gagal dalam peraduan dengan ayam.

Jika kita bandingkan dengan tabiat ayam ini sahaja pun, kita sudah dapat melihat betapa kita begitu lemah dalam menghadapi subuh. Kita begitu takut untuk mengangkat selimut dan melemparkannya jauh-jauh. Untuk siapakah laungan-laungan azan itu? Sudah tentulah jawapannya untuk kita kerana memang azan itu ditujukan kepada kita, kerana kitalah yang bernama manusia, kitalah yang terpintar, terhebat dan terkuat. Kitalah yang memiliki akal 1, 000, 000, 000, 000, neuron.

P/S: saya ada 8 buah buku motivasi DR.HM TUAH ISKANDAR al-Haj. Saya mula membeli sejak 2006. Saya suka baca buku ni.. tiap kali saya tak de mood untuk melakukan sesuatu buku ini lah yang menjadi guru sampingan saya.... (masih dalam proses untuk mendapatkan semua koleksi DR.Tuah)
1-     Membina Hati Bahagia
2-    Membina Rasa Cinta
3-    Membina Peribadi Anggun
4-    Membina Imaginasi Cemerlang
5-    Membina Cinta Sayang
6-    Membina Jati Diri Gemilang
7-    Membina Personaliti Terbilang
8-    Buat Sampai Jadi


No comments:

Post a Comment