Thursday 27 October 2011

Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI) 2012

Menurut Kementerian Pelajaran Malaysia (2010), tujuan utama memartabatkan bahasa Melayu adalah kerana bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan  yang menjadi alat perpaduan, bahasa perhubungan utama, dan bahasa ilmu ke arah membina negara bangsa untuk mencapai hasrat 1 Malaysia. 

Manakala  tujuan utama memperkukuh bahasa Inggeris adalah kerana bahasa Inggeris merupakan bahasa komunikasi antarabangsa yang perlu dikuasai dengan baik dan berkesan bagi membolehkan penerokaan pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat nasional dan global seperti pepatah Melayu “berdiri sama tegak, duduk sama rendah” dengan negara lain. 

Memartabatkan bahasa Melayu dan memperkasakan bahasa Inggeris yang akan dilaksanakan oleh kerajaan bermula pada tahun 2012 adalah satu dasar baru yang merupakan sebahagian daripada proses penambahbaikan berterusan dasar pendidikan di negara kita. Kementerian Pelajaran sedang melakukan persiapaan untuk melaksanakan dasar ini dengan sebaik mungkin tanpa menjejaskan pencapaian pelajar-pelajar yang akan terlibat dalam proses transisi pada tahun 2012 nanti.


 “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara” adalah merupakan tema hari guru pada tahun ini. Pemilihan tema ini adalah bertepatan dengan peranan guru sebagai penggerak utama proses transformasi pendidikan yang menjadi penentu kepada kejayaan transformasi negara. Peranan dan tanggungjawab guru sememangnya memberi impak  yang besar dan mendalam dalam diri setiap individu, masyarakat dan negara. Guru juga menjadi harapan masyarakat dan negara bagi memastikan pembentukan jati diri pelajar yang kukuh, berdaya saing, berkeyakinan tinggi dan berpegang teguh kepada agama dan nilai sejagat. Memartabatkan bahasa Melayu bermaksud meletakkan bahasa Melayu pada tempat yang sepatutnya, sesuai dengan kedudukan sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia. Bahasa Melayu juga merupakan bahasa pengantar utama pendidikan berdasarkan Akta Pendidikan 1996. Frasa “memartabatkan bahasa Melayu” secara umumnya didefinisikan sebagai memberi kedudukan yang tinggi lagi bermaruah serta berprestij kepada bahasa Melayu dalam kalangan penutur aslinya serta masyarakat lain, pada peringkat nasional, serantau dan global. Memperkukuh Bahasa Inggeris pula membawa maksud memantapkan penggunaan bahasa Inggeris  sebagai bahasa yang wajib dipelajari, bahasa komunikasi dan bahasa ilmu di peringkat nasional dan antarabangsa (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2010).


P/S: mulai tahun hadapan pelajar asing yang belajar di negara kita...di wajibkan untuk mempelajari subjek bahasa Melayu.. iaitu KOMUNIKASI BAHASA MELAYU..... saya sangat setuju dnegan cadangan ini kerana dapat memartabatkan bahasa melayu di persada dunia...

No comments:

Post a Comment